Resepi Sup Ayam Istimewa

  • Masa Penyediaan: 15 minit,
  • Masa Memasak:30 minit,
  • Jumlah Hidangan:4 orang

Resepi Oleh: Che' Nom

Resepi Sup Ayam Istimewa, lebih sedap dan pekat dari biasa kerana tidak menggunakan rempah sup bunjut seperti yang dijual di pasaran dan sebagai ganti, ramuan rempah ratus dimasukkan ke dalam sup ini. Oleh kerana kuah nya yang lebih pekat, sup ini juga sesuai dimakan bersama roti ataupun makaroni berbanding kebiasaan kita makan ia bersama nasi.

Selain membantu menambah selera, sup ayam juga terkenal sebagai hidangan yang boleh membantu orang yang kurang sihat seperti demam atau selsema supaya cepat pulih kerana dipercayai mengandungi "immunity booster" yang semulajadi hasil dari rebusan tulang ayam atau "chicken bone broth" yang direneh perlahan di dalam sup. 

Jadi, bagi anda yang ingin mencari sedikit kelainan boleh lah cuba resepi di bawah.


Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam, potong kecil
  • sedikit minyak untuk menumis
  • Bahan untuk rempah tumis:
    • 1 batang kayu manis
    • 5 biji buah pelaga
    • 1 kuntum bunga lawang
    • 2-3 tangkai cengkih
  • Bahan untuk dikisar halus:
    • 3 ulas bawang putih
    • 3 ulas bawang merah
    • 2 biji buah keras
    • 1 sudu kecil jintan manis
    • 1 sudu besar lada hitam
    • 1 sudu besar serbuk ketumbar
    • 1 sudu kecil jintan putih
    • Bahan-bahan untik dipotong dadu besar:
    • 1/2 batang lobak merah
    • 2 biji kentang sederhana besar
    • tomato (potong 4)
    • celery, jika suka

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak dalam periuk.
  2. Tumiskan rempah tumis bersama bahan kisar. Kacau perlahan sehingga naik bau dan pecah minyak.
  3. Masukkan ayam, kacau, tutup periuk dan biar sebentar.
  4. Kemudian masukkan air, lebih kurang 3-4 cawan atau agak-agak sehingga air tenggelam isi ayam. Biarkan sehingga mendidih.
  5. Bila sup sudah mula mendidih, masukkan lobak merah dan kentang. Masak sehingga empuk.
  6. Masukkan tomato beserta garam dan gula secukup rasa
  7. Taburkan dengan hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng apabila dihidang.

Artikel Berkaitan

Resepi Berkaitan: