Resepi Kari Kambing Sedap

Kari Kambing Sedap
  • Masa Penyediaan: 30 minit,
  • Masa Memasak:2 jam,
  • Jumlah Hidangan:6 orang

Resepi Oleh: Che' Nom

Resepi kari kambing yang sedap, dan sangat sesuai jika dimakan bersama nasi hujan panas, nasi jagung atau nasi minyak. Selain itu sedap juga jika dimakan bersama roti jala. Apa yang menarik tentang kari ini rasanya makin sedap jika dipanaskan keesokan harinya. Saya gunakan pressure cooker untuk merebus daging kerana jimat masa untuk masak daging hingga empuk. Jika anda tak ada pressure cooker, jangan risau rebus saja macam biasa sehingga lembut.i

Bahan-Bahan:

  • 2 kg daging kambing bersama tulang (bahagian kaki lebih baik)
  • 4 biji kentang, kupas kulit dan potong dadu besar
  • 2 biji tomato, potong 4
  • 6 sudu besar serbuk rempah kari daging
  • 2 cawan santan pekat
  • 1 cawan santan cair
  • 2 keping asam gelugor, atau air asam jawa
  • Sedikit gula melaka
  • Garam secukup rasa
  • 1 senduk minyak, untuk menumis
  • Bahan untuk dibancuh dengan air:
    • 1 sudu besar serbuk cili
    • 2 sudu besar serbuk kurma daging
    • 2 sudu besar kerisik
  • Bahan untuk dikisar:
    • 1 biji bawang besar
    • 5 biji bawang merah
    • 5-6 ulas bawang putih
    • 2 inci halia
    • 1 inci lengkuas
  • Bahan untuk rempah tumis:
    • 2 batang kayu manis
    • 5 biji buah pelaga
    • 2 kuntum bunga lawang
    • 5 batang cengkih

Cara Penyediaan:

  1. Basuh daging kambing bersama sedikit tepung gandum sehingga bersih dan toskan.
  2. Masukkan air anggaran separuh tenggelam daging. Rebus sehingga lembut. Kalau gunakan kaedah rebus biasa masa untuk daging lembut lebih kurang 2 setengah uingga 3 jam. Jika gunakan pressure cooker anggaran masa 30 minit hingga 45 minit.
  3. Panaskan minyak, tumis bahan rempah tumis hingga naik bau. Kemudian masukkan bahan kisar halus.
  4. Masukkan rempah yang telah dibancuh air dan tumis sehingga pecah minyak. Kacau dengan kerap supaya bahagian bawah tidak hangus. Tambahkan sedikit air jika terlalu kering semasa menumis.
  5. Masukkan daging kambing yang telah direbus. Masak seketika hingga rempah meresap ke dalam daging.
  6. Kemudian masukkan air rebusan daging, santan cair, kerisik, asam gelugor atau asam jawa dan kentang. Masak sehingga mendidih dan sedikit kering.
  7. Masukkan santan pekat, gula melaka dan garam secukup rasa.
  8. Sebelum angkat masukkan tomato dan tutup api.

Artikel Berkaitan

Resepi Berkaitan: