Resepi Kari Ikan Bawal

Kari Ikan Bawal
  • Masa Penyediaan: 15 minit,
  • Masa Memasak:20 minit,
  • Jumlah Hidangan:3 orang

Resepi Oleh: Che' Nom

Resepi Kari Ikan Bawal yang mudah dan sedap. Untuk masakan kari Che Nom suka tambah sedikit serbuk cili supaya dapat mengimbangi rasa rempah dan pedas serta warna kuah kari juga akan menjadi lebih cantik.

Che Nom gunakan ikan bawal emas bersaiz sederhana untuk resepi ini, anda boleh juga gunakan ikan bawal hitam atau bawal putih. Sedap sangat kari ni kalau dimakan bersama roti jala, lagi sedap jika disimpan untuk dimakan pada keesokan harinya kerana rasa kuah menjadi lebih sebati.


Bahan-Bahan:

  • 1 ekor ikan bawal
  • 2 sudu besar serbuk kari ikan
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 tangkai daun kari
  • air asam jawa
  • 1 mangkuk santan
  • sedikit air
  • 2 biji tomato
  • sayur bendi
  • 1 biji cili merah
  • garam secukup rasa
  • Bahan-bahan untuk hiris nipis:
    • 3 biji bawang merah
    • 2 ulas bawang putih
    • 1 inci halia
  • Bahan-bahan untuk rempah tumis:
    • 1 batang kayu manis
    • 1 sudu kecil halba campur
    • 2 kuntum bunga lawang

Cara Penyediaan:

  1. Bancuh serbuk kari bersama serbuk cili dengan sedikit air.
  2. Panaskan minyak, tumis bahan hiris nipis dan bahan rempah tumis sehingga kekuningan dan naik bau.
  3. Masukkan daun kari dan bancuhan serbuk rempah tadi. Masak sehingga rempah pecah minyak. Tambah sedikit air dan teruskan masak sehingga pecah minyak lagi sekali.
  4. Masukkan air asam jawa dan ikan.
  5. Tutup sekejap kuali supaya ikan masak sedikit.
  6. Masukkan santan, sedikit air, tomato, sayur bendi dan cili merah. Perasakan dengan garam secukupnya.

Tips:

  • Untuk masak kari yang sedap, rempah harus ditumis sehingga betul-betul masak. Cara untuk pastikan rempak masak ialah dengan tumis sehingga rempah pecah minyak, kemudian tambah air beberapa kali dan masak sehingga rempah pecah minyak pada setiap kali selepas tambah air.

Youtube

Artikel Berkaitan

Resepi Berkaitan: