Resepi Kari Ayam Istimewa

Kari Ayam Istimewa
  • Masa Penyediaan: 15 minit,
  • Masa Memasak:20 minit,
  • Jumlah Hidangan:5 orang

Resepi Oleh: Che' Nom

Kali ini Che Nom nak kongsikan resepi kari ayam yang sangat sedap jika di makan bersama roti jala ataupun pulut kuning. Apa yang istimewa ialah kari ayam ni kuahnya pekat dan wangi kerana kita masukkan santan pekat bersama sedikit kerisik. Boleh lebihkan kerisik di dalam kuah jika anda suka. Cuma pastikan kerisik yang digunakan masih segar dan tidak berbau hapak. Kerisik mudah rosak jika disimpan lama pada suhu yang tidak sesuai. Kualiti kelapa juga mempengaruhi rasanya.

Untuk lebih rasa pedas, Che Nom tambahkan sedikit serbuk cili. Selain rasanya pedas yang menjadikan kuah kari kurang rasa muak nya, warna kari juga akan menjadi lebih cantik dan menarik.

Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam
  • 2 1/2 sudu besar serbuk kari
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 mangkuk santan
  • 2-3 sudu besar kerisik
  • 3 biji kentang
  • garam secukup rasa
  • Bahan-bahan untuk hiris halus (A):
    • 5 biji bawang merah
    • 4 ulas bawang putih
    • 2 inci halia
  • Bahan-bahan untuk rempah tumis (B):
    • 1 batang kayu manis
    • 2 kuntum bunga lawang
    • 3 biji buah pelaga
    • 1 sudu kecil halba campur

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk kari ayam:
    1. Bersihkan ayam yang sudah dipotong kepada bahagian kecil dan ketepikan.
    2. Bancuh serbuk kari dan serbuk cili bersama sedikit air supaya menjadi pes pekat.
    3. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan A dan B sehingga kekuningan dan naik bau.
    4. Masukkan pes serbuk kari dan serbuk cili tadi. Kacau di atas api perlahan sehingga pecah minyak. Masukkan sedikit air dan kacau lagi. Ulang proses selama minimum 3 kali.
    5. Setelah bahan tadi pecah minyak, masukkan ayam dan tutup seketika sehingga ayam separuh masak.
    6. Masukkan sedikit air jika takut kari hangus di bahagian bawah.
    7. Masukkan pula santan dan ubi kentang. Masak sehingga ubi kentang empuk dan kuah menjadi pekat.
    8. Masukkan kerisik dan garam secukup rasa. Siap untuk dihidang

Tips:

  • Pastikan tumis bahan-bahan sehingga pecah minyak dan ulang proses menambah air beberapa kali. Cara ini bukan sahaja memastikan rempah kari masak sempurna, tetapi juga kuah kari boleh disimpan lebih lama dan enak rasanya.

Youtube

Artikel Berkaitan

Resepi Berkaitan: