Resepi Cekodok Pisang Sedap

Cekodok Pisang Sedap
  • Masa Penyediaan: 30 minit,
  • Masa Memasak:15 minit,
  • Jumlah Hidangan:20-30 biji

Resepi Oleh: Che' Nom

Resepi Cekodok Pisang, cara orang lama yang tidak menggunakan sebarang ejen penaik. Che Nom memang sukakan cara sebegini kerana resepi inilah yang diajar oleh ibu Che Nom sendiri. 

Cara orang lama ni harus pandai mengagak kuantiti tepung dan pisang, oleh itu sukatan tepung harus dimasukkan sedikit demi sedikit sehingga pekat sehingga adunannya senang dikaut dengan hujung jari ke dalam kuali. Jika gunakan hujung jari cekodok akan menjadi bulat dan cantik berbanding menggunakan sudu.

Kandungan gula pula boleh dimasukkan lebih sedikit jika adunan cekodok kurang manis. Ini kerana kemanisan cekodok pisang bergantung pada jenis pisang dan tahap masak nya. Sebolehnya gunakan pisang yang sudah masak ranum dan bertompok kehitaman di kulitnya. Che Nom paling suka gunakan pisang emas untuk penyediaan cekodok. Selamat mencuba :)

Bahan-Bahan:

  • 1 ikat pisang emas
  • 1 cawan tepung, anggaran
  • 3-4 sudu besar gula
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:

  1. Kupas kulit pisang dan masukkan ke dalam mangkuk kemudian lenyek pisang sehingga halus.
  2. Masukkan gula dan garam. Kacau sebati.
  3. Masukkan pula tepung gandum sedikit demi sedikit dan kacau sehingga adunan menjadi pekat. Kalau masih lembik tambah lagi tepung gandum sehingga mendapat kepekatan yang seimbang. Rehatkan adunan selama minimum 15 minit.
  4. Panaskan minyak supaya betul-betul panas dan kaut adunan cekodok dengan hujung jari dan jatuhkan ke dalam minyak panas. Kemudian perlahankan sedikit api.
  5. Kacau dan balik-balikkan cekodok pisang dengan kerap supaya bahagian luarnya rangup dan bulat bila masak nanti.
  6. Bila sudah keperangan, angkat dan toskan di atas kertas tisu.

Tips:

  • Tepung harus ditambah sedikit demi sedikit supaya nanti cekodok pisang tidak menjadi terlalu cair atau terlalu keras. Ini adalah kerana sukatan itu bergantung kepada jenis pisang dan berapa banyak kuantiti pisang yang kita masukkan.
  • Adunan cekodok pisang harus seimbang kandungan tepung dan pisangnya. Kalau kurang tepung, cekodok akan serap minyak apabila menggoreng. Anda boleh cuba goreng sebiji dahulu sebagai permulaan untuk pastikan adunan cekedok itu menjadi.

Youtube

Artikel Berkaitan

Resepi Berkaitan: