Koleksi Resepi Ayam Masak Merah Terbaik

Koleksi Resepi Ayam Masak Merah Terbaik

Ayam Masak Merah Sedap

  • Masa Penyediaan: 15 minit |
  • Masa Memasak:20 minit |
  • Jumlah Hidangan:8 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi Ayam Masak Merah yang Che Nom kongsikan kali ini lebih mudah dan menggunakan bahan-bahan yang kebiasaannya ada di dapur. Cuma apa yang istimewanya ialah jenis gula yang digunakan iaitu gula melaka. Che Nom rasa penggunaan gula melaka menyebabkan manis kuah sambal lebih sedap daripada sambal yang dimasukkan gula putih biasa. Memang ala-ala lauk kenduri sambal kampung rasa Ayam Masak Merah ini. Anda harus cuba. Sila rujuk bahagian tips untuk cara-cara masak sambal tumis dengan sedap.

Bahan istimewa yang ke-2 ialah daun kari. Penggunaan daun kari semasa menumis dapat menambahkan rasa dan aroma yang lebih wangi serta menyelerakan. Tapi jangan risau jika tak ada daun kari, boleh aja diabaikan. Cuma rasanya akan sedikit berbeza dengan versi yang Che Nom masak hari ini.

Bahan-Bahan:

  • 1 ekor ayam, potong kepada bahagian yang anda suka
  • serbuk kunyit
  • sedikit garam
  • 1 tangkai daun kari
  • 1/2 mangkuk air asam jawa
  • 3-4 sudu besar sos cili
  • 1 biji bawang besar, potong bulat
  • Anggaran 1 keping gula melaka
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Bahan untuk kisar halus:
    • 2 biji bawang besar
    • 2 inci halia
    • 6-8 biji bawang merah
    • 8-10 ulas bawang putih
    • 2 batang serai, hiris nipis
    • 15-20 biji cili kering, buang biji dan rebus

Cara Penyediaan:

  1. Bersihkan ayam dan gaul bersama serbuk kunyit dan garam. Panaskan minyak dan goreng ayam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Dalam minyak yang sama, tumis daun kari kemudian diikuti bahan kisar halus bersama sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan air asam jawa kemudian diikuti ayam goreng tadi.
  4. Masukkan sos sili, sos tiram dan gula melaka. Masukkan gula melaka sedikit demi sedikit dan cuba rasa manisnya mengikut selera anda. Tambah sedikit air jika kuah sambal terlalu kering. Teruskan masak selama 5-10 minit. Perasakan dengan garam secukup rasa.
  5. Sebelum angkat, masukkan bawang besar yang dipototong bulat. Kacau seketika.

Tips:

  • Untuk mendapatkan sambal tumis yang sedap, bahan tumis haruslah dimasak di dalam minyak yang banyak dan ditumis sehingga pecah minyak (maksudnya minyak terapung atau terpisah dari kuah sambal) dan warna sambal bertukar menjadi sedikit gelap. Itu tandanya semua bahan kisar terutamanya cili masak dengan sempurna dan akan menghasilkan sambal tumis yang enak. Jika kering tambahkan sedikit air dan kacau untuk elakkan kuah sambal menjadi hangus.

Ayam Masak Merah Nek Som

  • Masa Penyediaan: 15 minit |
  • Masa Memasak:20 minit |
  • Jumlah Hidangan:4 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi ayam masak merah istimewa dari nenek. Menggunakan cili merah fresh sebagai bahan utama.

Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam, dipotong sederhana kecil
  • 1 sudu kecil kunyit
  • 1 biji bawang besar, hiris nipis
  • 2 senduk besar minyak
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar air asam jawa
  • garam dan gula secukup rasa
  • Bahan kisar halus:
  • 6 biji cili merah segar
  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang
  • 1 inci halia
  • 2 batang serai, hiris nipis
  • 3 sudu besar cili kisar

Cara Penyediaan:

  1. Bersihkan ayam. Gaulkan dengan garam dan kunyit kemudian goreng separuh masak.
  2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang besar yang dihiris nipis sehingga kekuningan.
  3. Tuang bahan kisar halus dan masak sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan ayam dan air asam jawa kemudian masak sehingga ayam dan kuah sebati.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Sedap jika dilebihkan rasa manis. Angkat dan hidangkan.

Ayam Masak Merah Tomato

  • Masa Penyediaan: 20 Minit |
  • Masa Memasak:20 Minit |
  • Jumlah Hidangan:4

Oleh: Che' Nom

Resepi Ayam Masak Merah Tomato, resepi istimewa dari bonda mertua. Kelainannya terletak kepada rasa masam dari tomato dan lemak dari kacang pis. Sedap dimakan bersama nasi tomato dan acar mentah serta pasti menjadi kegemaran ramai jika disediakan di majlis istimewa.

Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam, dipotong sedehana kecil
  • 1 tin kecil kacang pis
  • 1/2 biji bawang besar, hiris
  • 1 senduk minyak masak
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 batang serai, dititik
  • Bahan untuk dikisar
    • 1 biji tomato saiz besar
    • 10-15 biji cili kering, buang biji dan rebus
    • 2 cm halia
    • 3 ulas bawang putih
    • 3 ulas bawang merah
    • 1/2 biji bawang besar

Cara Penyediaan:

  1. Goreng ayam 3/4 masak
  2. Cincang kasar bahan untuk dikisar, dan kisar menggunakan blender hingga halus
  3. Dalam kuali berasingan, panaskan minyak dan tumis bawang besar hingga kekuningan.
  4. Masukkan bahan kisar tadi dan masak hingga pecah minyak.
  5. Masukkan ayam, sos tiram, serai dan akhir sekali kacang pis. Perasakan dengan garam dan gula ikut rasa.

Tips:

  • Pastikan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak untuk mendapat sambal tumis yang masak sempurna dan lazat.

Ayam Masak Merah

  • Masa Penyediaan: 15 minit |
  • Masa Memasak:20 minit |
  • Jumlah Hidangan:4

Oleh: Che' Nom

Resepi Ayam Masak yang sedap dimakan bersama nasi tomato, Ayam Masak Merah adalah hidangan istimewa di setiap kenduri dan juadah berbuka puasa.

Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam
  • 1 cawan santan (optional)
  • Bahan-Bahan kisar ( kisar halus ):
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 cm halia
  • 2 cm lengkuas
  • 1 ulas kecil kunyit
  • 1 batang serai hiris nipis
  • 10-12 tangkai cili kering yg direbus dan dibuang biji
  • Bahan untuk ditumis :
    • 1 biji bawang besar (dihiris nipis)
    • 1 Kulit kayu manis
    • Satu tangkai daun kari

Cara Penyediaan:

  1. Potong ayam kepada beberapa bahagian sederhana besar.
  2. Gaulkan dengan garam dan kunyit. Goreng separuh masak.
  3. Dalam kuali berasingan, panaskan 1 senduk minyak. Apabila minyak sudah panas, masukkan bahan tumis.
  4. Kemudian masukkan pula bahan kisar halus dan masak hingga pecah minyak.
  5. Masukkan ayam, santan (jika anda suka) dan kacau sedikit hingga kuah mendidih serta menjadi pekat.
  6. Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula. Sedia untuk dihidang

Tips:

  • Pastikan sambal dimasak sehingga betul-betul masak dan pecah minyak kerana kuah sambal yang tidak dimasak sempurna akan kurang sedap rasanya