Koleksi Resepi Agar-Agar

Koleksi Resepi Agar-Agar yang terbaik dari iResipi.com

Agar-Agar Cendol Sedap

  • Masa Penyediaan: 15 minit |
  • Masa Memasak:20 minit |
  • Jumlah Hidangan:10 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi Agar-Agar Cendol yang sangat sedap jika dihidangkan sebagai pencuci mulut tambahan lagi jika agar-agar ini disejukkan terlebih dahulu di dalam peti sejuk. Rasa lemak cendol bersantan bergabung pula bersama lapisan manis 3 jenis gula iaitu gula melaka, gula merah dan gula pasir memang sangat enak. Untuk resepi ini Che Nom guna agar-agar bertali yang mudah didapati di kedai-kedai runcit mahupun pasaraya.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk lapisan gula melaka:
    • 1/2 pek agar-agar bertali (anggaran 15g)
    • 800 ml air
    • 150 gram gula melaka
    • 1/4 cawan gula merah
    • 1/2 cawan gula pasir
    • 250 ml santan
    • 1/2 sudu kecil garam
  • Bahan-bahan untuk lapisan santan:
    • 1/2 pek agar-agar bertali (anggaran 15g)
    • 800 ml air
    • 1/2 cawan gula pasir
    • 2 1/2 sudu teh garam
    • 250 ml santan
    • 1 pek cendol, tapis airnya

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk lapisan gula melaka:
    1. Basuh dan rendam agar-agar bertali bersama air seketika, kemudian masak agar-agar bersama gula melaka, gula merah dan gula pasir sehingga larut.
    2. Perlahankan api dan masukkan santan bersama garam. Kacau dengan kerap sehingga mendidih. Tapis dan tuang ke dalam acuan. Sejukkan sehingga beku.
  2. Cara-cara untuk lapisan santan:
    1. Basuh dan rendam agar-agar bertali bersama air seketika, kemudian masak agar-agar sehingga larut.
    2. Masukkan santan, cendol dan garam. Kacau sehingga mendidih di atas api perlahan.
    3. Tuangkan di atas lapisan gula melaka yang sudah dicakar dengan garfu supaya dua lapisan bercantum dengan sempurna.

Tips:

  • Apabila santan dimasukkan, harus dikacau dengan api perlahan supaya agar-agar tidak berketul.

Agar-Agar Sirap Selasih

  • Masa Penyediaan: 10 minit |
  • Masa Memasak:15 minit |
  • Jumlah Hidangan:6 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi Agar-Agar Sirap Selasih, agar-agar yang menarik tapi menggunakan bahan yang cukup mudah. Warna yang ceria pasti membuatkan anak-anak suka. Agar-agar ini sedap dihidangkan sejuk sebagai pencuci mulut dan juadah berbuka puasa.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk lapisan sirap selasih:
    • 1/2 pek agar-agar kering (dari bungkusan 25g), rendam sehingga lembut
    • 600 ml air (anggaran 2 1/2 cawan air)
    • 3/4 cawan gula pasir
    • 1 sudu besar biji selasih, rendam sampai kembang
    • 1/2 sudu besar pati sirap ros
    • 1 helai daun pandan
  • Bahan-bahan untuk lapisan sirap bandung:
    • 1/2 pek agar-agar kering (dari bungkusan 25g), rendam sehingga lembut
    • 400 ml air (anggaran 1 3/4 cawan air)
    • 1/2 tin susu cair
    • 3/4 cawan gula pasir
    • 1/2 sudu besar pati sirap ros
    • 1 helai daun pandan

Cara Penyediaan:

  1. Dalam dua periuk yang berasingan, rebus bahan untuk lapisan sirap selasih (kecuali biji selasih) dan bahan untuk sirap bandung.
  2. Rebus sehingga mendidih dan pastikan ketulan agar-agar cair sepenuhnya. Kemudian tapis air rebusan agar-agar.
  3. Untuk bahan sirap selasih, biji selasih boleh ditambah apabila sirap sudah ditapis.
  4. Tuang sirap selasih ke dalam bekas acuan dan sejukkan. Apabila agar-agar sudah sejuk, cakar atau cucuk-cucukkan permukaan supaya bahagian lapisan atas melekat.
  5. Tuang bahan sirap bandung dan sejukkan lagi sekali.
  6. Apabila aga-agar sudah sejuk sepenuhnya, boleh lah dihidangkan.

Tips:

  • Agar-agar harus direndam terlebih dahulu supaya mempercepatkan proses memasak agar-agar. Apabila sudah lembut, barulah dimasak dan ketulan agar-agar akan cair dengan sempurna.

Agar-agar Koktail

  • Masa Penyediaan: 5 minit |
  • Masa Memasak:10 minit |
  • Jumlah Hidangan:6 orang makan

Oleh: Che' Nom

Resepi agar-agar koktail yang menggunakan buah-buahan koktel di dalam tin. Juadah pencuci mulut yang begitu mudah untuk disediakan dan bahan-bahan mudah didapati.

Terbaik dihidangkan ketika sejuk, sungguh nyaman dan sedap. Cuma perlu diingat ketika merebus agar-agar api janganlah terlalu kuat kerana jika menggelegak di atas api yang terlalu kuat susu cari akan berketul-ketul dan teksturnya menjadi tidak cantik.

Bahan-Bahan:

  • 1 bungkus atau 20g agar-agar bertali
  • 900 ml air
  • 1 tin koktel buah-buahan
  • 1 tin susu cair
  • 1 1/2 cawan gula pasir
  • 1 helai daun pandan

Cara Penyediaan:

  1. Basuh agar-agar dan rebus bersama air sehingga larut.
  2. Kemudian masukkan gula pasir, daun pandan dan buah-buahan koktel berserta airnya sekali.
  3. Masukkan susu cair dan masak di atas api yang perlahan hingga 2-3 minit.
  4. Tuang di dalam loyang dan sejukkan.

Agar-Agar Santan Gula Melaka

  • Masa Penyediaan: 10 minit |
  • Masa Memasak:10 minit |
  • Jumlah Hidangan:6 orang

Oleh: Che' Nom

Agar-agar santan gula melaka, pencuci mulut yang tak jemu dimakan. Sedap dijamah ketika sejuk dan pencuci mulut yang mudah disediakan. Boleh disediakan sehari awal jika anda merancang untuk jamjan atau kenduri. Senang kan? :)

Bahan-Bahan:

  • 10-12 gram agar-agar (saya guna agar-agar bertali)
  • 3 1/2 cawan air
  • 3 helai daun pandan
  • 1 biji telur
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan santan cair
  • 1 ketul gula melaka (anggaran dalam 220 gram)
  • 1 sudu besar gula merah thai
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:

  1. Pukul telur bersama santan pekat, tapis dan ketepikan. Ini kerana untuk mengelakan ketulan telur putih yang tak sekata apabila dimasak nanti.
  2. Masak gula melaka, gula merah thai dan gula pasir sehingga larut dan kemudian tapis. Masak agar-agar bersama air gula tadi dan daun pandan sehingga cair.
  3. Masukkan santan cair, garam dan kacau sebati.
  4. Masukan bancuhan santan pekat dan kacau sehingga mendidih. Teruskan mengacau selama 2-3 minit ketika mendidih. Ini supaya gumpalan hakus dapat terbentuk cantik.
  5. Tuang dalam loyang dan sejukkan.

Agar-Agar Santan Pandan

  • Masa Penyediaan: 10 minit |
  • Masa Memasak:10 minit |
  • Jumlah Hidangan:6 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi agar-agar santan pandan yang sungguh sedap dan menyegarkan jika dimakan sejuk. Agar-agar ni memang biasa kita makan dan nak buatnya pun tak susah mana. kalau ada kenduri, ini adalah pencuci mulut yang klasik dan sesuai sangat untuk dihidangkan kepada tetamu.

Rasa lemak dari santan dan harum dari daun pandan memberikan kelainan pada juadah ini. Selalunya saya akan buat agar-agar santan dan letakkan dalam peti ais. Dapat makan sejuk-sejuk memang sedap.

Bahan-Bahan:

  • 10-12 gram agar-agar (saya gunakan agar-agar bertali)
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan santan cair
  • 1 biji telur
  • 3 1/2 cawan air
  • 1 1/4 cawan gula (kurangkan sedikit jika tak suka manis)
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2-3 helai daun pandan
  • beberapa titik pewarna hijau
  • beberapa titik perasa pandan (pandan essence)

Cara Penyediaan:

  1. Basuh agar-agar dan masukkan ke dalam periuk bersama air. Jika gunakan agar-agar serbuk, terus tuangkan sahaja.
  2. Masak sehingga mendidih dan agar-agar larut. Masukkan gula, daun pandan, perasa pandan, pewarna hijau, garam dan santan cair. Masak sehingga sebati.
  3. Pukul sedikit telur bersama santan. Saya tapiskan supaya tiada ketulan apabila masak nanti.
  4. Tuang bancuhan santan dan telur ke dalam agar-agar dan kacau sehingga mendidih selama beberapa minit.
  5. Tuang ke dalam loyang dan sejukkan.