• Recipe By:Che' Nom

  • Total Recipe: 229
  • Location: Shah Alam
  • Instagram

Resepi Udang Galah Masak Lemak Cili Api

Udang Galah Masak Lemak Cili Api

Resepi Udang Galah Masak Lemak Cili Api yang memang sangat sedap dan membuka selera. Jika ada udang galah yang segar, boleh lah cuba masakan ini. Bagi Che Nom, masak lemak cili api yang sedap terletak kepada dua kunci utama iaitu seafood yang segar dan penggunaan daun kunyit yang segar dalam kuahnya. Aroma dari daun kunyit sungguh harum dan menyelerakan.

Cara penyediaan tidaklah susah sangat, cuma seperti yang disebutkan di atas tadi, penggunaan bahan-bahan yang segar amatlah penting. Ada resepi masak lemak cili api yang langsung tidak menggunakan bawang di dalam kuahnya, tetapi versi ini Che Nom memang gunakan bawang dalam resepi ini. Kalau tak suka kacang panjang boleh juga digantikan dengan nenas atau belimbing buluh. Anda boleh cuba dan diharap berpuas hati dengan hasilnya.

Ditulis oleh :
Masa:
Penyediaan: 15 minit | Memasak: 1o minit | Keseluruhan: 16 minit
Jumlah Hidangan : 5 orang

Bahan-Bahan:

  • 1 kg udang galah
  • 4 batang kacang panjang, patahkan sepanjang 3cm
  • 2 helai daun kunyit, carikkan
  • 2 batang serai, dititik atau ketuk
  • 1 mangkuk santan pekat dan 1 mangkuk santan cair (dari 1/2 biji kelapa)
  • 1-2 keping asam gelugor
  • garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan kisar halus:
  • 8-10 biji cili padi
  • 2 ketul kunyit hidup, kikis kulitnya
  • 6-8 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih (optional)

Cara Penyediaan:

  1. Bersihkan udang dan potong janggutnya. Ketepikan.
  2. Masukkan santan cair ke dalam periuk bersama bahan kisar halus, udang galah dan serai yang dititik tadi. Masak di atas api perlahan sehingga mendidih.
  3. Setelah mendidih masukkan pula santan pekat, daun kunyit, asam gelugor dan kacang panjang.
  4. Masukkan garam dan sedikit gula secukup rasa. Apabila kuah mendidih dan kacang panjang tadi masak lembut, terus tutup apinya.

Tips

  • Kuah harus dimasak di atas api yang perlahan dan harus kerap dikacau supaya santan tidak pecah minyak dan berketul.
  • Udang galah pula tidak boleh dimasak terlalu lama kerana nanti isi akan keras dan kurang sedap.
  • Boleh juga digunakan santan kotak (1 kotak santan 200ml untuk resepi ini dan ditambah sedikit air)

Resepi Berkaitan