• Recipe By:Che' Nom

  • Total Recipe: 229
  • Location: Shah Alam
  • Instagram

Resepi Serawa Durian dan Pulut Kukus

Serawa Durian dan Pulut Kukus

Entri kali ini adalah resepi masakan khas buat penggemar durian. Serawa durian atau pun pengat durian memang sesuai disajikan sebagai hidangan pencuci mulut. Ada juga sesetengah tempat panggil hidangan ini sebagai bubur durian. Yang pasti cara masakannya adalah lebih kurang sama. Untuk resepi ni Che Nom hanya masukkan sedikit gula melaka kerana tak berapa gemarkan serawa durian yang warnanya terlalu perang. Serawa durian sesuai disajikan bersama pulut kukus, roti putih atau juga roti jala. Ikut selera masing-masing lah kan. Che Nom makan serawa durian kali ini bersama pulut kukus. Jom semak resipi :)

Ditulis oleh :
Masa:
Penyediaan: 10 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 25 minit
Jumlah Hidangan : 6 orang

Bahan-Bahan:

Bahan-bahan untuk serawa durian:
  • 10-15 ulas isi durian, bersama biji
  • 2 cawan santan cair
  • 1/2 cawan gula pasir
  • seketul kecil gula melaka
  • 1 helai daun pandan, carik dan simpul
  • 2 cawan santan pekat
  • 1 1/2 sudu kecil garam
  • 1 cawan air, jika perlu
Bahan-bahan untuk pulut kukus:
  • 500 gram pulut
  • 1 cawan santan cair
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:

Cara-cara untuk serawa durian:
  1. Masukkan ulas durian, santan cair dan daun pandan di dalam periuk. Masak sehingga isi durian hancur dan menjadi kuah yang pekat sebati.
  2. Masukkan santan pekat, gula pasir, gula melaka dan garam. Teruskan didih di atas api yang perlahan dan kacau sebati.
  3. Tambahkan sedikit air jika kuah terlalu pekat. Angkat dan hidangkan bersama pulut kukus.
Cara-cara untuk pulut kukus:
  1. Rendam pulut selama beberapa jam (anggaran 2-3 jam).
  2. Panaskan kukusan dan kukus pulut selama 15-20 minit. Angkat pulut dari kukusan dan masukkan ke dalam mangkuk.
  3. Bancuh santan cair bersama garam.
  4. Tuangkan santan cair kedalam pulut yang panas tadi dan rehatkan supaya pulut menyerap kuah santan.

Tips

  • Jika pulut masih keras selepas anda gaul bersama santan cair, masukkan kembali ke dalam kukusan selama 5 minit, kemudian angkat dan sejukkan.

Resepi Berkaitan