• Recipe By:Che' Nom

  • Total Recipe: 229
  • Location: Shah Alam
  • Instagram

Resepi Puding Karamel Sedap

Puding Karamel Sedap

Resepi Puding Karamel yang amat mudah disediakan dan rasanya memang sedap. Sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu dan masa untuk menyediakannya pun tidak terlalu lama.

Bahan-bahannya pun cuma menggunakan bahan asas di dapur sahaja. Puding karamel boleh disediakan dengan melalui dua kaedah iaitu kukus atau bakar dengan cara waterbath. Perbezaannya ialah, cara waterbath menghasilkan puding yang lebih licin dan tidak berongga.

 

Ditulis oleh :
Masa:
Penyediaan: 10 minit | Memasak: 25 minit | Keseluruhan: 35 minit
Jumlah Hidangan : 5 orang

Bahan-Bahan:

Bahan-bahan untuk gula karamel:
  • 1/4 cawan gula + 1 sudu besar gula
  • 3 sudu besar air
Bahan-bahan untuk puding:
  • 5 biji telur, saiz B
  • 1 tin susu cair
  • 150ml air
  • 1/4 cawan gula
  • 1 sudu kecil esen vanila

Cara Penyediaan:

Cara-cara untuk gula karamel:
  1. Panaskan gula dan air di dalam periuk di atas api perlahan sehingga warna bertukar keperangan, kemudian baru kacau sekata.
  2. Tuang dalam loyang berukuran 6 inci dan ketepikan.
Cara-cara untuk puding karamel:
  1. Dalam mangkuk, satukan semua bahan menggunakan whisk. Pastikan gula cair dan jangan terlebih pukul sehingga adunan sehingga berbuih. Cukup sekadar adunan larut dan sebati.
  2. Tapiskan adunan ke dalam loyang gula karamel. Tuang dengan berhati-hati supaya lapisan bawah karamel tidak terjejas.
  3. Tutup loyang dengan aluminium foil supaya air tidak bertakung sewaktu dikukus. Kukus selama 30-35 minit minit, atau sehingga puding menjadi pejal.
  4. Boleh juga menggunakan kaedah waterbath dan bakar di dalam oven pada suhu 170°C, selama anggaran 40-45 minit.

Tips

  • Boleh juga sediakan puding karamel menggunakan kaedah 'water bath' atau 'bain marie' dan bakar di dalam oven pada suhu 170°C, selama anggaran 40-45 minit. Kaedah ini menghasilkan puding yang lebih licin dan tidak berongga.
  • Caranya ialah dengan meletak air panas ke dalam loyang yang lebih besar, kemudian letakkan loyang puding karamel yang telah di tutup dengan kertas aluminium foil dan bakar sehingga masak. Jangan buka oven di sepanjang proses memasak kerana wap air akak meruap keluar dan mengganggu hasil puding nanti.

© 2013 iResipi.com, · Privacy · Terms, Further inquiries please contact: [email protected]