• Recipe By:Che' Nom

  • Total Recipe: 229
  • Location: Shah Alam
  • Instagram

Resepi Laksam Sedap

Laksam Sedap

Resepi Laksam, yang berasal dari negeri cik siti Wan Kembang dan memang sangat sedap. Che Nom memang peminat laksam sebab ada terdapat ulam-ulaman segar seperti hirisan bunga kantan, daun kesum, timun, kacang dan lain-lain lagi mengikut kesukaan dan selera masing-masing.

Dalam penyediaan kuah, Che Nom campurkan 2 jenis ikan iaitu ikan kembung dan ikan sardin. Ikan haruslah segar baru kuah laksam menjadi lebih sedap.

Ditulis oleh :
Masa:
Penyediaan: 40 minit | Memasak: 40 minit | Keseluruhan: 80 minit
Jumlah Hidangan : 8 orang

Bahan-Bahan:

Bahan untuk kuah laksam:
  • 1/2 kg ikan
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1/2 inci halia
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • 3 keping asam jawa
  • seketul gula melaka
  • pati santan dari 1 biji kelapa
Bahan untuk laksa kukus:
  • 3 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 4 1/2 cawan air suam
  • 1/2 sudu kecil garam
Bahan untuk sambal belacan:
  • 5 biji cili merah
  • 10 biji cili padi
  • 2 biji jus perahan limau nipis
  • garam dan gula secukup rasa
Bahan untuk ulam-ulaman:
  • kacang panjang
  • bunga kantan
  • timun
  • daun kesum
  • taugeh
  • bawang besar
  • limau kasturi
  • kubis

Cara Penyediaan:

Cara untuk kuah laksam:
  1. Rebus ikan bersama sedikit air, agak-agak tenggelam ikan sahaja. Masukkan 1 asam keping, 1/2 inci halia dan sedikit garam. Rebus dalam anggaran masa 15 minit.
  2. Apabila ikan sudah masak, sejukkan kemudian asingkan isi ikan dan bahagian tulangnya. Air rebusan ikan jangan dibuang, tapis dan ketepikan.
  3. Kisar isi ikan bersama bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam sehingga halus.
  4. Panaskan periuk dan masukkan bahan kisar halus, asam keping dan serai. Masak bersama air rebusan ikan tadi dan rebus sehingga mendidih.
  5. Masukkan pati santan, sedikit gula melaka dan garam secukup rasa. Kacau di atas api yang perlahan. Tak perlu masak kuah terlalu lama kerana santan akan pecah minyak dan kuah akan jadi kurang sedap. Memadai cuma selama 5 minit.
  6. Hidangkan bersama laksa dan ulam ulaman
Cara untuk laksa kukus:
  1. Panaskan periuk kukusan. Sediakan 2 loyang berukuran 8" atau 9". Kalau tak ada loyang, tudung periuk pun boleh.
  2. Satukan tepung bersama garam.
  3. Bancuh dengan air suam dan kacau sehingga sebati dan tidak berketul. Che Nom kacau menggunakan whisk, lagi cepat halus.
  4. Sapikan sedikit minyak pada permukaan loyang, tuang adunan tepung sebanyak 3 senduk kecil.
  5. Kukus selama 5-8 minit. Angkat loyang dan sejukkan. Boleh juga di alirkan air sejuk di bahagian bawah loyang supaya laksa senang dikeluarkan.
  6. Gulung laksam dan ulang langkah sehingga adunan tepung habis. Anggaran dapat 8-9 gulung laksam.
  7. Gunting laksam setebal 1/2 inci sebelum dihidangkan.
Cara untuk sambal belacan:
  1. Kisar kesemua cili dan gaul bersama jus limau nipis, garam dan gula secukup rasa
Cara untuk ulam ulaman:
  1. Hiris halus kesemua bahan ulam.

Tips

  • Boleh dihidangkan bersama belacan dan garam (ikut cara orang kelantan)

© 2013 iResipi.com, · Privacy · Terms, Further inquiries please contact: [email protected]