• Recipe By:Che' Nom

  • Total Recipe: 229
  • Location: Shah Alam
  • Instagram

Resepi Kurma Kambing

Kurma Kambing

Resepi Kurma Kambing yang sesuai dihidangkan bersama nasi minyak, nasi beriani, nasi tomato, nasi hujan panas atau nasi berperisa yang lain mengikut kesukaan anda. Sedap juga kalau dimakan bersama nasi putih dan sambal belacan. Kalau di sebelah utara, kurma kambing memang biasa dihidangkan di kenduri kendara dan rasanya memang sangat sedap.

Pastikan daging dimasak betul-betul lembut dan senang ditarik keluar dari tulangnya. Pastinya masa yang lama diperlukan untuk masak daging kambing sehingga lembut, tetapi jika anda mempunyai pressure cooker, masa dapat dijimatkan.

Kalau tak ada pressure cooker tak apa, ada beberapa petua untuk melembutkan daging seperti masukkan sudu ke dalam masakan dan rebus bersama-sama daging. Ada juga yang petua, basuh dan gaul dulu daging kambing bersama tepung dan kicap selama 1/2 jam sebelum dibilas dan kemudian rebus. Silalah cuba ya :)

Ditulis oleh :
Masa:
Penyediaan: 30 minit | Memasak: 1 jam 30 minit | Keseluruhan: minit
Jumlah Hidangan : 10 orang

Bahan-Bahan:

  • 1 kg daging kambing
  • 1 senduk minyak
  • 2 cawan santan pekat
  • 3 biji cili hijau atau cili merah, potong dua
  • 4 biji kentang, potong dadu besar
  • 1 batang karot. potong dadu besar
  • 2 biji bawang besar, belah 4
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • sedikit gula melaka
  • garam secukup rasa
Bahan untuk bancuhan pes (dengan air):
  • 4-5 sudu besar rempah daging kurma
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
Bahan untuk tumbuk halus:
  • 8 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang bawang putih
  • 2 inci halia
Bahan untuk rempah tumis:
  • 1 batang kayu manis
  • 5 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 4 batang cengkih
  • 2 tangkai daun kari

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak di dalam periuk dan masukkan bahan rempah tumis dan bahan tumbuk halus. Tumis sehingga naik bau dan kekuningan.
  2. Masukkan bancuhan pes rempah, kacau dan masak sehingga pecah minyak. Tuang sedikit air jika rempah terlalu kering dan garing untuk mengelakkan rempah hangus.
  3. Masukkan kambing dan gaul sebati bersama rempah. Biarkan masak sehingga 5 minit dan tambah sedikit air hingga agak tenggelam daging kambing. Masak sehingga daging menjadi empuk dan lembut.
  4. Apabila daging sudah lembut, masukkan santan, air asam jawa, karot, kentang, cili hijau dan bawang besar. Masak sehingga bahan tadi empuk.
  5. Masukkan pula gula melaka dan garam secukup rasa. Angkat dan hidangkan bersama nasi.

© 2013 iResipi.com, · Privacy · Terms, Further inquiries please contact: [email protected]