Butir Nangka

  • Masa Penyediaan: 10 minit |
  • Masa Memasak:10 minit |
  • Jumlah Hidangan:6 orang

Oleh: Che' Nom

Resepi Butir Nangka ialah sejenis hidangan pemanis mulut tradisi dari pantai timur. Dalam catatan resepi di bawah, Che Nom gunakan gula pasir sahaja. Boleh juga jika anda nak masukkan nisan atau gula melaka di dalam kuahnya dan warna kuah akan bertukar menjadi sedikit perang. Bagi Che Nom, bahan yang paling penting ialah halba kerana ia memberi rasa yang sangat unik kepada hidangan ini.

Bahan-Bahan:

  • Bahan-bahan untuk biji butir nangka:
    • 3-4 cawan tepung beras pulut
    • 1 sudu kecil air kapur
    • secubit garam
    • air
    • pewarna makanan secukupnya
  • Bahan-bahan untuk kuah:
    • 2-3 mangkuk besar santan dari 1/2 biji kelapa ATAU 1 kotak santan segera
    • sehelai daun pandan, carik dan simpul
    • 1 sudu kecil rempah biji halba
    • gula
    • garam

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk biji butir nangka:
    1. Panaskan air di dalam periuk.
    2. Bancuh air kapur bersama air dan garam. Tuangkan sedikit demi sedikit ke atas tepung pulut. Uli sehingga menjadi doh yang lembut.
    3. Bahagikan doh dan uli bersama beberapa titik pewarna kesukaan anda sehingga warna doh sekata. Cubit sedikit dan bentukkan doh menjadi bujur. Ulang proses sehingga doh habis.
    4. Rebus butir doh di dalam air panas tadi sehingga timbul di permukaan dan kautkan ke dalam mangkuk yang berisi air sejuk biasa.
  2. Cara-cara untuk kuah:
    1. Panaskan santan di atas api perlahan.
    2. Masukkan biji halba dan daun pandan.
    3. Kemudian masukkan biji butir nangka yang telah ditapis dari air rendaman tadi.
    4. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
    5. Kacau kuah dengan perlahan sehingga mendidih dan tutup api.

Tips:

  • Kuah akan lebih sedap jika anda gunakan santan segar berbanding santan kotak.
  • Kuah juga harus lebih rasa manisnya. Anda harus pandai mengagak gula yang perlu dimasukkan ke dalam kuah mengikut citarasa sendiri.

Resepi Berkaitan: