Biskut Double Chocolate Chips Rangup

  • Masa Penyediaan: 15 minit |
  • Masa Memasak:15 minit |
  • Jumlah Hidangan:100 biji biskut saiz mini

Oleh: Che' Nom

Resepi Biskut Double Chocolate Chips atau Biskut Chocolate Chips versi 'gelap' kerana dua jenis coklat dimasukkan di dalam adunan iaitu serbuk koko dan chocolate chips. Biskut ini sangat sesuai untuk disediakan di hari raya cuma perlulah dibuat dalam saiz mini supaya lebih sesuai dihidangkan untuk tetamu nanti. Che Nom gunakan sudu kecil sebagai pengaup adunan doh biskut.

Kalau tidak suka badam anda boleh gantikan dengan kekacang lain seperti pecan atau walnut yang dicincang halus. Kekacang yang digunakan haruslah dibakar seketika supaya teksturnya rangup di dalam biskut.

Adunan perlu direhatkan seketika, minimum 10 minit supaya semua adunan menjadi sebati, stabil, lembapan dapat diseimbangkan serta rasa menjadi lebih sedap. Untuk masa pembakaran pula, janganlah terlebih masa kerana dikhuatiri kuih akan kering dan hangus. Susah untuk mengagak kuih ini supaya tidak hangus kerana warna doh nya yang gelap. Kesedapan rasa pula akn bergantung kepada kualiti mentega dan coklat yang digunakan. 

Bahan-Bahan:

  • 1 cawan mentega unsalted (227g), suhu bilik
  • 1/2 cawan gula kastor
  • 3/4 cawan gula perang
  • 2 biji telur
  • 1 1/2 sudu kecil esen vanilla
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan serbuk koko
  • 3/4 sudu kecil baking soda
  • 1/4 sudu kecil garam
  • 1 1/2 - 2 cawan coklat chip (semisweet)
  • 1/2 cawan badam cincang (almond nib), bakar seketika

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan oven pada suhu 170°C.
  2. Ayak tepung gandum bersama serbuk koko, baking soda dan garam.
  3. Dalam mangkuk berasingan, putar mentega bersama gula kastor dan gula perang sehingga putih. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan putar sehingga kembang.
  4. Dengan kelajuan perlahan, masukkan bahan ayak sedikit demi sedikit dan putar sebati.
  5. Masukkan pula coklat chip dan badam. Kacau sehingga adunan sekata dan rehatkan doh seketika.
  6. Griskan dulang dan lapik dengan kertas baking. Scoop dengan pencedok ice cream atau sudukan adunan di atas dulang dengan jarak yang jauh kerana biskut akan mengembang apabila dibakar.
  7. Bakar selama 15-20 minit.

Tips:

  • Untuk mendapatkan biskut yang lebih tebal tapi rangup, masukkan doh yang sudah di scoop ke dalam peti sejuk selama lebih kurang 1 jam sebelum dibakar.

Artikel Berkaitan

Resepi Berkaitan: