• Recipe By:Che' Nom

  • Total Recipe: 229
  • Location: Shah Alam
  • Instagram

Resepi Begedil Ayam Sedap

Begedil Ayam Sedap

Resipi Begedil Ayam yang sangat mudah dimasak dan sangat sedap. Che Nom sediakan begedil ayam ni untuk dihidangkan bersama soto ayam, sebabnya tak sedaplah soto kalau tak ada begedil kan... Untuk resipi ini, kentang yang digunakan ialah kentang yang biasa terdapat di kedai, bukannya kentang jenis yang diimport seperti kentang USA atau russet. Pendek kata, kentang tempatan atau asia yang murah tu lagi sedap buat begedil. Boleh letak cili kalau anda suka pedas. Satu lagi nota, jika anda nak gantikan daun sup dengan daun bawang pun ok, atau nak letak dua-dua pon boleh. Sila lah cuba! :)

Ditulis oleh :
Masa:
Penyediaan: 20 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 35 minit
Jumlah Hidangan : 12 biji

Bahan-Bahan:

  • 500 gram (4-5 biji) ubi kentang, kupas kulit dan potong setebal 1/2 inci
  • 150 gram daging ayam kisar
  • 1 biji bawang besar, didadu kecil
  • 1 pokok daun sup, hiris halus
  • 3 sudu besar bawang goreng
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada putih
  • 1 biji cili merah, cincang kasar (kalau nak sedikit pedas)
  • garam secukup rasa
  • 1 biji telur ayam
  • Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan:

Cara untuk masak ayam:
  1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak dan goreng bawang besar sehingga lembut.
  2. Masukkan ayam kisar dan goreng sehingga ayam masak. Perasakan dengan sedikit garam.
Cara untuk masak begedil:
  1. Dalam kuali yang lain, panaskan minyak masak (anggaran 1 mangkuk). Goreng kentang sehingga kekuningan dan lembut. Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
  2. Ketika kentang masih panas, hancurkan kentang dengan cara melenyek kentang sehingga halus menggunakan potato masher atau garfu.
  3. Masukkan bawang goreng, daun sup, ayam (yang dimasak tadi) dan serbuk lada putih. Perasakan dengan garam secukup rasa.
  4. Ambil sedikit adunan dan buat bulat. Kemudia leperkan sedikit dan susun di atas pinggan atau dulang.
  5. Panaskan minyak. Pecahkan telur dan kacau dengan garfu supaya sebati. Celup begedil di dalam telur dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga kekuningan. Tunggu sehingga bahagian bawah begedil keras sedikit baru dialihkan untuk mengelak begedil dari hancur.

Resepi Berkaitan