Tips Untuk Menyediakan Sambal Tumis Yang Sedap

Oleh: Che' Nom

Sebagai seorang penggemar tegar sambal tumis, saya memang selalu bertanyakan makcik-makcik di kampung tentang bagaimanakah caranya nak dapatkan sambal tumis yang sedap, menarik warnanya serta tahan lama. Jadi, bermacam-macam cara dan petua yang saya dapat hasil dari pertanyaan tersebut dan setiap orang pasti ada kaedahnya yang tersendiri dalam penyediaan sambal tumis. Mula-mula kita fokus kepada bahan utama, dan kemudian kepada kaedah memasaknya pula.


 
Bahan:
  • Cili kering - pemilihan cili kering memainkan peranan yang paling penting kerana ia akan mempengaruhi warna dan rasa sambal tumis. Cili kering yang licin dan berkilat adalah lebih pedas berbanding cili kering yang berkedut dan kerinting. Oleh itu, pilihlah cili kering mengikut citarasa anda samada yang kurang pedas atau lebih pedas. Rasa sambal juga lebih sedap jika gunakan cili kering berbanding cili boh.


  • Bawang - selalunya campuran bawang merah kecil, bawang besar dan bawang putih digunakan sebagai bahan kisar utama bersama cili kering. Manakala bawang untuk menumis, Che Nom hanya gunaka bawang besar sahaja yang digoreng sehingga layu dan ia akan menjadikan sambal tumis lebih sedap dan manis.


  • Belacan - belacan digunakan sebagai bahan penyedap tambahan di dalam sambal tumis, lebih-lebih lagi jika sambal tumis untuk nasi lemak.


  • Air asam jawa - boleh dikatakan sambal tumis tak akan sedap jika kita tidak masukkan elemen masam di dalam sambalnya, kalau tak ada asam jawa boleh ganti dengan asam keping. 


Kaedah:  

  • Buang biji dan rebus - gunting cili kering dan buang bijinya dan kemudian rebus cili di dalam air sehingga mendidih kemudian tapiskan air. Ini adalah supaya dapat mengurangkan rasa ketajaman pedas cili, cepat masak dan sambal yang tahan lama.
  • Tumis dalam minyak yang cukup - sambal harus ditumis di dalam minyak yang banyak supaya cili masak dengan elok. Anggaran minyak hingga tenggelam bahan tumis. Jika tak suka minyak banyak, anda boleh buang minyak di dalam sambal setelah sambal masak nanti.
  • Masak hingga pecah minyak - ini adalah langkah yang paling penting iaitu masak sehingga pecah minyak. Ramai yang tertanya-tanya macam mana nak masak sehingga pecah minyak? Pecah minyak ialah apabila sambal dan minyak sudah terapunng dan terpisah di bahagian tepinya, serta warna sambal juga sudah bertukar menjadi sedikit gelap, itu menandakan sambal sudah masak dengan sempurna. Boleh ditambah sedikit air jika kuah kering untuk mengelakan kuah sambal hangit bila dimasak.

Resepi Berkaitan: